Kemudahan lain Istana_Negara,_Jalan_Istana

Istana Negara turut mempunyai singgahsana kecil di aras satu untuk baginda menerima dan menyerahkan surat perlantikan kepada duta dan pesuruhjaya tinggi. Yang di-Pertuan Agong menggunakan Bilik Duta di aras bawah untuk berinteraksi dengan duta dan pesuruhjaya tinggi yang baru. Di sini jugalah Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri mengadap Yang di-Pertuan Agong sebelum mempengerusikan mesyuarat Kabinet mingguan pada hari Rabu.

Pengawal berkuda yang menjaga pintu masuk Istana Negara.

Istana tersebut turut mempunyai dewan kecil bagi Yang di-Pertuan Agong bertemu dengan pemerintah yang lain sementara Bilik Permaisuri adalah tempat keluarga diraja bertemu dengan pasangan diraja atau bagi upacara tidak rasmi. Bersebelahan dengan Balairong Seri ialah Bilik Mesyuarat Majlis Raja-Raja iaitu tempat bagi Majlis Raja-Raja bersidang setiap tahun manakala Bilik Menteri adalah tempat untuk menunggu sebelum mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Dewan badminton juga digunakan untuk upacara yang berkaitan dengan mencemar duli seperti menyerahkan hadiah bagi golongan miskin pada bulan Ramadhan. Kemudahan rekreasi adalah seperti gelanggang tenis, gimnasium dan kolam renang.

Istana Negara mempunyai pengawal istana dari batalion pertama Rejimen Askar Melayu Diraja. Sejak tahun 2001, pengawal berkuda turut diletakkan di pintu gerbang masuk pada 8 pagi hingga 5 petang yang menjadi tarikan pelancong.